Semoga ALLAH Merahmati Mu..

Sunday, July 8, 2012

Keikhlasan Dalam Perhubungan Itu Penting!

    Sebut sahaja pasal perhubungan,kita akan terus memikirkan hubungan percintaan.Betul kan?Betapa pantasnya otak manusia memanipulasikan fakta dan menjerumus ke arah satu pandangan semata-mata. Perhubungan,tak semestinya cinta! Persahabatan? Persaudaraan? Bahkan, hubungan dengan ALLAH SWT juga memerlukan keikhlasan.Jadi,lupakan sejenak tentang cinta dan marilah kita beralih kepada perhubungan yang lebih penting dan luas lagi.

Pujangga pernah berbicara, "Keikhlasan manusia bukan sahaja terletak pada hatinya yang tersembunyi.Tetapi,ia juga terletak pada mata yang zahir."

Maksudnya,kita jangan ingat orang tak tahu yang kita ni ikhlas atau tidak dalam berhubungan dengan mereka kerana hati kita bisu.Tiada siapa mendengar.Tetapi,manusia juga boleh membuka rahsia keikhlasan kita dengan menatap mata kita yang paling dalam sekali.Di situ terletak berjuta-juta rahsia tentang perasaan kita.Awas!Hati anda sedang diterokai!

Ikhlas itu adalah sikap yang terpuji dan amat dituntut dalam islam.Tanpa keikhlasan,manusia itu ibarat talam dua muka semata-mata.Hidupnya sekadar berpura-pura dan berdrama di atas pentas dunia.orang yang tertipu akan tertipu tetapi bagi mereka yang tidak mahu terus mencari tapak di dunia kepura-puraan itu,mereka akan berlalu dan meninggalkan kita di atas pentas itu.Semakin lama,jumlah penonton kita semakin kurang kerana mengikut suara mejoriti yang sudah pergi.Mungkin juga mereka mendengar kata-kata daripada orang lain (umpatan dan kutukan) mengenai taraf dan tahap lakonan kita yang semakin teruk dan busuk.Pendek kata,segala-galanya telah dihidu dan mereka tidak tahan lagi dengan bau busuk lakonan kita.Sedih, bukan?
   Keikhlasan mampu mengubah segala-galanya dalam hidup manusia. Sekiranya dia dibenci,orang akan jatuh cinta.Sekiranya dulu dia dihina, manusia bakal menghormatinya.Dan seandainya dia dicaci,dia bakal dipuji.Semua ini mampu untuk diubah dengan tahap keikhlasan yang dipamerkan dan bagaimana ia dipamerkan kepada umum.Manusia itu fitrahnya mempunyai hati untuk berfikir dan merasai setiap sesuatu di sekelilingnya.Dia tahu dengan siapa dia berhubungan dan bagaiman orang menerima dirinya melalui deria dan pancaindera ciptaan Ilahi.Tak percaya?Cuba sendiri di tempat anda dan rasakan nikmat mempunyai hati daripada ALLAH.Hati bukan sahaja untuk merasai apa yang ada di dalam dada,tetapi,hati adalah lebih dari sekadar organ yang mampu menyalurkan darah,kerana kehadirannya mampu membuatkan manusia itu berfikir dan menggunakan nikmat akal sebaik-baiknya.
   Ikhlas berlaku apabila seorang manusia itu sentiasa merelakan dirinya dalam apa-apa jua keadaan sekalipun.Tidak kisahlah dia ikhlas ketika membantu orang,dia ikhlas dalam menuntut ilmu,ataupun ikhlas dalam menjalinkan hubungan persaudaraan sesama insan yang lainnya.

Allah SWT telah mengurniakan sifat ikhlas ini kepada Nabi SAW agar Baginda sentiasa reda dan menerima sahaja apa-apa dan sesiapa sahaja dalam hidup Baginda.Dengan itu,sifat terpuji ini dilihat sebati dalam diri Baginda apabila Baginda tabah dalam menyebarkan dakwah dan mengembangkan agama Islam.Baginda tidak menjadikan faktor kulit Bilal Bin Robah yang hitam sebagai ukuran untuk bersahabat dengan Baginda.Apatah lagi Saidina Ali yang susah dan miskin dahulunya sebagai kayu ukur untuk menjadi menantu Baginda.Tetapi Baginda memandang mereka-mereka ini dengan pandangan yang Ikhlas,semata-mata kerana ALLAH SWT.

Seorang manusia apabila dia ikhlas dalam perhubungan yakni menjalinkan hubungan persaudaraan dengan sesiapa sekalipun sebenarnya dia sedang mengikat tali cinta dengan ALLAH.ALLAH SWT bahkan turut mencintai dan mengangkat darjat orang-orang yang bukan sahaja beriman dan bertaqwa kepada-Nya,bahkan ikhlas dalam hidupnya.

Seorang hamba yang ikhlas pasti mempunyai ciri-cri ini:
  1. Dia sentiasa sabar dan reda dengan ketentuan ALLAH SWT dalam hidupnya dan tidak merungut dengan apa-apa sekalipun yang berlaku.
  2. Dia sentiasa terbuka hatinya dalam menerima kehadiran sesiapa sahaja kepadanya tanpa memandang darjat,harta,warna kulit,paras rupa mahupun agama  mereka.
  3. Dia sentiasa berusaha dalam hidupnya untuk meningkatkan ilmu dan mencintai ilmu pengetahuan.
  4. Dia sedia mengajar dan menerima orang yang berada dalam kesusahan,mahu menuntut ilmu dengannya dan bersahabat dengannya.
  5. Wajahnya sentiasa mempamerkan senyuman yang tidak dibuat-buat ataupan plastik di hadapan orang lain.Pendek kata,melihat dia tersenyum sahaja,kita sudah tertarik dengan penampilannya.
  6. Tidak kisahlah susah bagaimana sekalipun sesuatu urusan itu,dia akan melakukannya semata-mata kerana ALLAH SWT.
Banyak lagi sifat orang-orang yang ikhlas dan kita sendri mampu untuk merasakannya sendiri.Ikhlas kepada ALLAH SWT juga penting bahkan sangat perlu dititik beratkan oleh kita sebagai makhluk dan hamba ALLAH.
ALLAH SWT tidak memandang hambaNya yang paling banyak melakukan amalan ibadah dan kebajikan,tetapi ALLAH memandang mereka-mereka yang ikhlas melakukannya demi dan semata-mata kerana ALLAH.

Fitrah manusia itu apabila melakukan sesuatu,dia mahu orang mengetahuinya dan memuji,tetapi ia perlu dan mampu untuk dielakkan. Seandainya anda dan  saya merasakan kita hampir ke arah itu,maka, Istighfar adalah jalan keluarnya.Kita tidak perlu melakukan sesuatu dan mengharapkan orang melihatnya kerana dikhuatiri,pahala yang kita kumpul dan harapkan akan hilang begitu sahaja.Cukuplah kita meyakini, malaikat,haiwan sekalipun semut,bahkan jin,lebih-lebih lagi ALLAH SWT telah melihat amal ibadah kita bahkan mereka lebih mengetahui keikhlasan dan tahap kelurusan ibadah kita itu berbanding manusia.Silap-silap hari bulan,manusia tidak memuji,tetapi memfitnah dan memperlekehkan amalan kita..'Konon-kononnya warak sangatlah tu.Orang solat 4 rakaat dia buat 8'.kan susah macam ni.pemikiran manusia,siapa tahu?
    
Semoga,dengan memupuk rasa ikhlas dalam diri,maka amal ibadah dan kebajikan kita akan meningkat dan tidak berkurang sedikit pun.Constant takpa! Mudah-mudahan,apa-apa sahaja kita kerjakan mendapat pahala dan tempat di sisi ALLAH SWT di akhirat kelak.Insyaallah,Wallahu'alam. :)

No comments: